Tuesday, April 27, 2010

KAYA DI TANGAN DAIM PAPA DI TANGAN ANWAR

Kalau di Barat, jika berlaku krisis ekonomi orang yang pertama harus meletakkan jawatan ialah Menteri Kewangan.

Di Malaysia, walaupun negara dilanda kejatuhan teruk ekonomi dan nilai ringgit, namun Anwar masih boleh berdekah-dekah.

Beliau masih mampun berpidato ala Fidel Castro sedangkan air sudah berada di paras hidung.

Kalau dulu Daim membuat negara makmur dan menjadikan orang Melayu kaya-raya, di tangan Anwar pula mengheret orang Melayu jatuh papa kedana.

Kalau di zaman Daim pertumbuhan bank seperti cendawan tumbuh dimusim hujan, Anwar pula menutup banyak cawangan Bank Negara.

Kalau cawangan-cawangan bank sudah ditutup, apakah Anwar akan berkata ekonomi Malaysia tidak jatuh, yang jatuh cuma nilai ringgit saja.

Kejatuhan nilai ringgit boleh dilihat dan dirasa oleh pancaindera dan rakyat menderita akibatnya. Ramai peniaga gulung tikar dan jatuh bankrap.

Kempen Anwar jangan beli barang impot boleh diertikan menyuruh rakyat kembali kezaman Jepun makan ubi kayu.

Ini didasarkan sebahagian besar bahan utama makanan sehari-hari adalah barangan impot seperti beras, gula, tepung, rempah ratus, sayur-sayuran dan sebagainya.

Menurut Megat Junid, negara mengimpot barangan makanan sebanyak RM18 billion setahun. Ini termasuk beras kerana penghasilan beras negara ini tidak mencukupi.

Jadi kita kembali kepada konsep Buku Hijau di zaman Tun Abdul Razak. Kalaulah Anwar mengambil iktibar mencontohi Allahyarham sewaktu Anwar memegang Menteri Pertanian dahulu, tentulah negara tidak menghadapi masalah seperti sekarang.

Anwar dilihat sebagai one man show dalam mentadbirkan kewangan negara maka kegawatan ekonomi negara semakin meruncing.

Kalau telahan ini kurang tepat, mengapa harus ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Tidakkah penubuhan MTEN sebagai satu tamparan kepada Anwar? Lebih-lebih lagi Daim dilantik sebagai peneraju MTEN yang mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Kewangan.

Dengan kata lain, segala usaha untuk memulihkan kejatuhan ekonomi negara telah dipertanggungjawabkan kepada Daim. Cuma PM tidak membuang Anwar daripada Menteri Kewangan.

Pada hematnya, Anwar sendiri sedar bahawa keupayaannya sudah sampai ke persimpangan di mana ia sendiri harus menawarkan diri untuk berundur daripada Menteri Kewangan, bukan tunggu untuk diberhentikan.

Dengan penubuhan MTEN berdasarkan kemampuan Daim, maka PM mengumumkan baru-baru ini bahawa ekonomi negara akan pulih dalam jangka waktu enam bulan lagi.

Perbezaannya antara falsafah perjuangan Daim dengan Anwar ialah Daim sewaktu menjadi Menteri Kewangan menumpukan sepenuh perhatian dalam membangunkan ekonomi negara tanpa ada perhitungan politik peribadinya. Lebih kerja, kurangkan politik.

Kerana itu Daim pada bila-bila masa boleh berhenti dari menjadi Menteri Kewangan setelah ekonomi negara berada di puncak kejayaan. Beliau juga berhenti begitu saja sebagai Ketua UMNO Bahagian Merbok bila dikacau kedudukannya. No Sweet kata orang putih.

Anwar pula terlalu berkira dalam perhitungan masa depan politiknya. Yang demikian, tindak tanduknya sentiasa mempunyai kepentingan politik dirinya. Mungkin Anwar dihantui jawatan Perdana Menteri yang dikhuatiri terlepas kepada orang lain.

Kerana itu beliau mempunyai strategi politiknya sendiri sebagai master plan yang mungkin lebih tersusun daripada menyediakan master plan mengatasi kemerosotan ekonomi negara sekarang.

Di antara strategi Anwar ialah memastikan seberapa banyak orang-orangnya mendapat tempat penting dalam sektor kewangan, badan-badan tertentu dan diberi kemudahan dalam perniagaan.

Golongan ini juga bertapak dan memegang jawatan-jawatan penting dalam UMNO Bahagian sebagai cadre. Golongan ini merupakan tunggak dominan Anwar dalam politik. Strategi yang amat berkesan ini telah pun dibuktikan ketika Anwar menentang Ghaffar Baba dulu.

Dominan Anwar ketika itu ternyata dikalangan Menteri Besar yang mempunyai team wawasan. Namum team tersebut berpecah selepas perhimpunan 1993.

Mana-mana pemimpin yang tidak sehaluan dengan Anwar telah dituba. Di antara mangsanya ialah Rahim Tamby Chik, Sanusi Junid dan Daim Zainuddin.

Senario politik hari ini tidak lagi mengikut gendang yang dipalu oleh Anwar. Kecuali Melaka, semua Menteri Besar mempunyai sikap yang positif terhadap kepimpinan Dr. Mahathir. Begitu juga dengan pendirian kebanyakan Menteri Kabinet. Sentuh Dr. Mahathir bererti menjolok sarang tebuan.

Kalau kurang yakin, kita lihat sahaja pertandingan pucuk pimpinan UMNO tahun 1999. Apakah Anwar berani bertanding melawan Dr. Mahathir untuk merebut jawatan Presiden?

Dr. Mahathir sendiri memberitahu bahawa pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh diadakan bagi tahun berkenaan.

oleh Khalid Jafri (TEMPO 25hb Jun 1998).

No comments:

Post a Comment